Hari yang dinanti telah tiba. KLIA dipenuhi hiruk-pikuk para penumpang yang sibuk dengan urusan masing-masing. Di antara keramaian itu, Akmal, Hasbah, Mbak Susi, dan beberapa staf butik melangkah menuju pintu pelepasan.
Beg-beg besar dan kotak-kotak yang berisi prop untuk pertunjukan fesyen ditolak oleh para staf, sementara Hasbah sibuk memeriksa dokumen perjalanan bersama rakan kongsinya, Datin Maisarah.
Akmal berjalan di belakang, sesekali pandangannya melirik ke arah Mbak Susi, yang membantu membawa beg kecil miliknya. Susi, seperti biasa, tersenyum sopan, tidak mahu menunjukkan emosi apa pun. Namun, ada sesuatu pada senyuman itu yang membuat Akmal terasa hangat.
Di lounge menunggu keberangkatan, mereka duduk berkumpul. Hasbah sibuk berbual dengan Datin Maisarah tentang rancangan acara fesyen di Bandung. Akmal duduk di sebelah isterinya, sementara Susi mengambil tempat di sudut lain, bersebelahan Azman, marketing supervisor di butik Hasbah.
Azman, seorang duda anak satu yang terkenal dengan sifat peramahnya, segera mula berbual dengan Susi. "Jadi, Mbak Susi, sudah lama kerja dengan Encik Akmal dan Puan Hasbah?" tanyanya sambil tersenyum ramah.
"Baru saja, Tuan. Baru beberapa bulan," jawab Susi sopan, tetapi senyumnya tidak lepas dari wajahnya.
"Panggil saya Azman saja. Jangan panggil Tuan. Saya bukan bos," Azman bergurau sambil ketawa kecil.
Akmal, yang sedang meminum teh di sebelah Hasbah, segera menangkap nada suara Azman. Dia menoleh sekilas, melihat Azman duduk rapat dengan Susi, seolah-olah cuba mencuri perhatian wanita itu. Dadanya mula bergelora.
"Abang, kenapa?" tanya Hasbah, menyedari wajah Akmal berubah sedikit.
"Tak ada apa-apa," balas Akmal cepat, cuba menyembunyikan rasa tidak senangnya. Dia mengalih pandangan kembali ke arah isterinya, tetapi fikirannya sangat terganggu.
Azman terus berbicara dengan Susi, memuji gaya sopannya dan senyumannya yang menawan. Susi, yang sedar akan pandangan mata Akmal dari kejauhan, hanya tersenyum ringan. Dalam hatinya, dia tahu Akmal sedang memerhatikan, tetapi dia tidak mahu menimbulkan masalah.
Setelah beberapa lama, pengumuman bahawa pesawat mereka sedia untuk berlepas berkumandang. Mereka semua bangun dan menuju ke pintu pelepasan. Hasbah memimpin rombongan itu, berjalan dengan penuh yakin. Akmal dan Susi mengikuti di belakang, sementara Azman masih cuba berbicara dengan Susi.
Di dalam pesawat, mereka duduk mengikut susunan tempat yang telah ditetapkan. Hasbah duduk bersama Akmal di kelas perniagaan, sementara Susi dan Azman duduk di kelas ekonomi bersama staf yang lain. Akmal merasa resah, mengetahui Azman berada di tempat yang sama dengan Susi, tetapi dia cuba menyembunyikan rasa tidak puas hatinya daripada Hasbah. Cuba mengawal emosinya.
"Abang, nanti kita sampai di hotel, abang rehat dulu, ya. Saya ada mesyuarat kecil dengan Maisarah untuk bincang susunan terakhir acara," kata Hasbah sambil memegang tangan Akmal. Akmal hanya mengangguk, tetapi fikirannya masih melayang, membayangkan Susi di belakang bersama Azman. Tentang apa yang sedang mereka lakukan.
Setibanya di Bandung, suasana di lapangan terbang Husein Sastranegara yang lebih kecil tetapi sibuk menyambut mereka. Udara sejuk kota kembang itu menyegarkan setelah penerbangan panjang. Rombongan bergerak ke bas yang akan membawa mereka ke hotel.
Di dalam bas, Akmal duduk bersama Hasbah, tetapi matanya tidak dapat berhenti mencari Susi. Dia melihat Azman masih duduk di sisi wanita itu, masih berbual dan kelihatan seperti cuba menggoda pembantu rumahnya itu.
Susi sesekali mencuri pandang ke arah Akmal, yang duduk jauh di hadapan. Tatapannya seolah-olah memberitahu, "Saya tahu kamu cemburu."
Ketika bas bergerak menuju hotel, Hasbah berbicara dengan Maisarah tentang susunan jadual acara yang akan berlansung esok. Akmal hanya mendengar separuh hati, fikirannya tidak tenang.
Setelah sampai di hotel, mereka semua diberi kunci bilik masing-masing. Akmal membawa begnya sendiri ke bilik, sementara Hasbah terus ke ruang mesyuarat bersama Maisarah. Susi, yang tinggal di bilik berasingan, menuju ke arah biliknya.
Malam itu, Akmal duduk di balkoni biliknya, memandang langit Bandung yang tenang tetapi fikirannya penuh kekusutan. Dia merasakan perasaan cemburu yang aneh melihat Azman berbual dengan Susi, tetapi dia tidak dapat menyuarakan perasaannya kepada sesiapa.
Susi masuk ke dalam dan mengunci pintu biliknya, menghela nafas perlahan. Walaupun perjalanan hari itu panjang, dia tidak merasa letih. Setelah menyusun pakaiannya di dalam almari kecil dan mengatur barang-barang keperluannya, dia duduk di tepi katil, termenung sejenak sambil memikirkan perbualan dengan Azman tadi.
*Tuk... tuk... tuk.*
Pintu bilik diketuk perlahan. Susi segera bangun dan membuka pintu, terkejut melihat Akmal berdiri di hadapannya. Lelaki itu hanya memakai baju T-shirt hitam dan seluar sukan, wajahnya kelihatan tenang tetapi matanya menyimpan seribu cerita.
"Susi, boleh saya masuk sekejap?" bisik Akmal, melihat kiri kanan, memastikan tiada sesiapa di koridor yang mendengar dan melihatnya.
Susi mengangguk perlahan, lalu membuka pintu lebih luas. Akmal melangkah masuk, berdiri sejenak sambil memerhatikan bilik sederhana itu.
"Kamu tak apa-apa? Penat ke hari ni?" Akmal bertanya, nadanya lembut tetapi jelas ada sedikit kegelisahan dan kegusaran.
"Tidak, mas. Cuma sedikit letih saja," jawab Susi, cuba membaca ekspresi wajah lelaki itu.
Akmal mendekati meja kecil di sudut bilik dan bersandar, matanya menatap Susi dengan penuh perhatian. "Saya nampak kamu dengan Azman tadi... mesra sangat berbual."
Susi tersenyum kecil, cuba menenangkan suasana. "Mas Akmal cemburu ya.. Dia hanya ajak ngerobol sama saya sahaja, tiada apa-apa berlaku."
"Tapi saya tak suka," Akmal mengakui, nada suaranya tegas tetapi penuh kejujuran. "Saya cemburu."
Susi terpana mendengar kata-kata itu. Perlahan, dia melangkah mendekati Akmal, duduk di kerusi kecil di depannya. "Mas Akmal, jangan macam ini. Saya tak pernah memandang orang lain selain Mas. Saya tahu hati mas... dan saya juga tahu saya bukan siapa-siapa untuk membuat mas rasa begitu."
Akmal menggelengkan kepala. "Jangan cakap macam tu. Kamu penting untuk saya, Susi. Sejak kamu datang ke rumah, saya rasa hidup saya berubah. Kamu ada bila saya perlukan seseorang. Saya... rasa takut kehilangan kamu." luahnya perlahan, membuka apa yang terbuku dihatinya.
Susi mendongak, matanya bertemu dengan mata Akmal. Dia tersenyum kecil, mengangkat tangannya untuk menyentuh lembut bahu lelaki itu. "Mas Akmal, saya tak akan pergi ke mana-mana. Saya kan sudah menjadi milik mas."
Dalam keheningan malam itu, Akmal memegang tangan Susi yang masih berada di bahunya. Mereka saling mendekat, dan Susi merasakan dada Akmal berdegup kencang. Dia tahu perasaan lelaki itu tulus, mencintainya, tetapi dia juga sedar risiko yang mereka hadapi.
"Kamu jangan curang dengan siapa-siapa yaa?" tanya Akmal perlahan, hampir berbisik.
"Iya mas, hanya mas sahaja dihatiku.." jawab Susi jujur.
Akmal mendekatkan wajahnya. "Saya juga mencintai kamu...." Mereka berpelukan erat, saling memberi ketenangan. Ketika bibir mereka bersatu, dunia seolah-olah lenyap, meninggalkan hanya mereka berdua dalam momen yang penuh emosi.
Setelah beberapa waktu, mereka duduk bersama di tepi katil. Akmal memegang tangan Susi erat. "Saya mahu tahu lebih banyak tentang kamu, tentang hidup kamu di sini," kata Akmal.
Susi tersenyum. "Saya rasa mas akan bosan kalau tahu cerita saya. Hidup saya sederhana saja."
"Saya tak pernah bosan bila bersama kamu," balas Akmal sambil tersenyum kecil. "Besok, kalau kamu balik ke rumah kamu, saya mahu ikut."
Susi memandang Akmal, sedikit terkejut. "Mas nak ikut? Tapi nanti gimana Bu Hasbah..?."
"Saya sudah ada alasan. Jangan risau. Saya nak lihat tempat kamu, tempat kamu membesar.
Saya nak faham lebih lagi tentang kamu," kata Akmal dengan penuh keyakinan.
Susi tersentuh dengan keikhlasan itu. "Kalau itu yang mas mahu, saya tak boleh halang. Saya akan senang kalau mas mau ikut."
Jam di dinding menunjukkan hampir tengah malam. Akmal akhirnya berdiri, menguis pipi Susi dengan lembut. "Saya kena balik ke bilik saya. Kalau tidak, Hasbah akan mula curiga." Susi mengangguk. "Hati-hati ya, mas."
Sebelum melangkah keluar, Akmal mencium dahi Susi dengan penuh kasih. "Selamat malam, Susi."
"Selamat malam, Mas," jawab Susi, matanya berkaca-kaca tetapi hatinya dipenuhi rasa hangat.
Di biliknya, Hasbah yang sudah habis awal meeting bersama Datin Maisarah, sedang membelek jadual acara di laptop ketika Akmal masuk. Dia memandang suaminya dan tersenyum. "Abang pergi mana tadi? Sayang call pun tak dapat."
"Keluar ambil angin. Penat sangat duduk lama-lama tadi, lagipun phone abang tinggal dalam meja tu" balas Akmal sambil duduk di tepi katil mengambil phone nya.
"Ingatkan abang tersesat tadi.. kot la pergi kelab malam ke, " tanya Hasbah, nada suaranya seakan serius.
"Ehh sayang ni, ke situ pula," Akmal cuba meyakinkan, memeluk manja isterinya.
Hasbah menutup laptopnya dan berbaring membalas pelukan suaminya. "Esok saya akan sibuk sepanjang hari. Dah bincang dengan Susi tadi, dia mintak kebenaran balik rumah dia sekejap jumpa anak-anak, rindu katanya. Saya dah izinkan. Abang tak apa, kan?"
Akmal tersenyum kecil. "Tak apa. Saya pun kalau boleh nak ikut dia. Nak tengok-tengok keadaan rumah dia. Nak tau juga macam mana cara hidup pembantu rumah kita tu."
Hasbah mengangguk tanpa syak. "Haa elok juga lah tu, ada juga aktiviti abang, sayang pun busy sepanjang hari esok sampai malam..tak sempat nak teman kan abang."
Dalam hati Akmal, tersenyum riang, membayangkan hari esok bersama Susi. Hasbah memejamkan mata, sementara Akmal terus termenung, fikirannya melayang kepada sosok wanita itu yang kini mengisi ruang hatinya.
- bersambung -
321Please respect copyright.PENANAd4OQQ7lGx8