Hari-hari berlalu dengan rutin yang biasa bagi Hasbah, tetapi sebenarnya jauh berbeza dari apa yang pernah mereka lalui. Akmal kini sering keluar rumah lewat untuk bekerja, memberi alasan ada kerja tambahan yang perlu disiapkan.
Namun, Hasbah mulai menyedari sesuatu yang ganjil. Suaminya lebih banyak termenung, dan setiap kali mereka bersama, keintiman yang pernah mengisi hubungan mereka semakin memudar.
Di rumah, Akmal mencuri waktu untuk berlama-lama dengan Susi. Pada awal pagi, ketika Hasbah sudah bersiap untuk ke butiknya, Akmal sering sengaja bersarapan lambat agar dapat menghabiskan masa berbual dengan Susi di dapur.
Sementara pada waktu petang, dia pulang awal dari pejabat dan langsung menuju ruang tamu di mana Susi biasanya sibuk melipat kain atau menyiapkan makan malam.
"Mas Akmal, hari ni pulang awal lagi?" tanya Susi sambil tersenyum kecil ketika Akmal melangkah masuk.
Akmal hanya tersenyum. "Ya, saya rasa macam nak balik awal... rindu nak tengok kamu." Susi menunduk sedikit, tersipu malu. "Mas, jangan bergitu. Nanti bu Hasbah marah kalau tahu mas selalu macam ni."
Namun, Akmal hanya tertawa kecil dan duduk di kerusi, menatap Susi dengan pandangan penuh perhatian. "Biarlah, Susi. Saya cuma nak luangkan masa dengan orang yang faham saya."
Malam itu, seperti biasa, Hasbah pulang lewat setelah sibuk dengan pelanggannya di butik. Dia melepaskan kasut tumitnya dengan keletihan, memandang ruang tamu yang sunyi. Akmal sedang duduk di sofa sambil menonton berita malam.
"Abang, tak tidur lagi?" tegur Hasbah sambil melabuhkan punggung di sebelah suaminya.
"Belum... nak tengok berita dulu," jawab Akmal ringkas tanpa menoleh.
Hasbah mendekatkan dirinya, cuba untuk memeluk bahu Akmal seperti yang biasa dia lakukan sebelum ini. Namun, Akmal hanya tersenyum kecil tanpa membalas pelukan dirinya.
"Abang penat ke? Saya nampak abang sangat lain kebelakangan ni," tanya Hasbah, cuba memahami.
"Biasa saja, Sayang. Mungkin sebab kerja... banyak yang kena urus," jawab Akmal, memberikan alasan yang klise.
Hasbah terdiam sejenak. Dia memandang wajah suaminya, mencari sisa-sisa kehangatan yang pernah menyinari hubungan mereka. Dulu, Akmal selalu penuh semangat untuk berbual panjang dengannya, melontarkan gurauan manja, atau memanjakan dirinya dengan sentuhan yang penuh cinta. Walaupun dia sering menolaknya, Namun kini, dia seakan rindukan semua aksi itu.
"Abang... saya rasa macam kita dah makin jauh," luah Hasbah dengan suara perlahan, cuba mengumpulkan keberanian untuk berbicara.
Akmal menoleh kepadanya, tersentak dengan pernyataan itu. Namun, dia cuba menyembunyikan perasaannya. "Apa yang jauh? Kita masih sama macam dulu..."
Hasbah menggeleng kecil, air matanya hampir mengalir. "Tak, abang. Saya rasa macam abang dah tak peduli lagi. Dulu... abang selalu cari saya. Tapi sekarang, abang macam dah tak mahu dekat saya lagi."
Akmal terdiam, memandang ke arah skrin TV yang masih menyiarkan berita. Dia tahu kata-kata Hasbah ada benarnya, tetapi dia tidak mampu memberikan jawapan yang jujur.
"Abang penat, Sayang. Mungkin kita perlukan masa untuk rehat sikit. Abang... cuma perlukan ruang," jawab Akmal akhirnya, suara datarnya membuat Hasbah semakin sedih.
Hasbah hanya memandangnya dengan mata yang berkaca-kaca. Dalam diam, dia merasakan kehilangan. Dia merindui suaminya, tetapi suaminya kelihatan seolah-olah sudah berada di dunia yang berbeza, jauh daripadanya.
Ketika Hasbah keluar awal untuk ke butik, Akmal sekali lagi melambatkan dirinya. Dia menemui Susi di dapur, yang sedang menyediakan sarapan.
"Susi, kamu tahu apa yang saya paling hargai tentang kamu?" Akmal berkata perlahan, suaranya penuh emosi.
Susi menoleh, sedikit terkejut tetapi cuba untuk tidak kelihatan canggung. "Apa, Pak?"
"Kamu selalu buat saya rasa... tak bersendirian. Saya rasa dihargai, difahami. Itu sesuatu yang saya dah lama tak rasa," kata Akmal sambil memandangnya dengan penuh keikhlasan.
Susi hanya mampu tersenyum kecil, tetapi dalam hatinya, dia tahu perasaannya terhadap Akmal semakin mendalam.
Pagi itu, Hasbah tiba di butiknya dengan langkah yang perlahan. Wajahnya yang biasanya ceria kelihatan suram. Mata yang sering memancarkan keyakinan kini redup, mencerminkan rasa kecewa yang terpendam di dalam hatinya. Dia menyalami staf yang menyambutnya, tetapi senyumannya hambar, sekadar formaliti
Datin Maisarah, rakan kongsinya dalam perniagaan butik, segera menyedari perubahan itu. Maisarah, seorang wanita yang penuh karisma dan pengalaman hidup, segera menghampiri Hasbah.
"Hasbah, apa khabar? Eh, muka kamu macam tak ceria hari ni. Ada apa-apa masalah ke?" tegur Maisarah sambil mengambil tempat duduk di hadapan Hasbah.
Hasbah menarik nafas panjang dan cuba tersenyum. "Tak ada apa-apa, Datin. Cuma... penat sikit."
Maisarah merenung tajam, tidak percaya dengan jawapan itu. "Penat? Penat fizikal atau penat hati?" tanyanya, separuh bergurau tetapi dengan nada prihatin.
Hasbah akhirnya mengalah, membuka mulut. "Entahlah, Datin. Saya rasa hubungan saya dengan Akmal dah tak sama macam dulu. Dia macam... jauh. Tak macam dulu lagi."
Maisarah terdiam sejenak, memandang Hasbah dengan rasa simpati. "Jauh macam mana tu? Dia ada cakap apa-apa? Atau... kamu rasa dia dah berubah sebab ada yang lain?"
Hasbah menggeleng cepat. "Bukan begitu, Datin. Saya tak rasa dia macam tu. Tapi... saya rasa salah saya juga. Saya sibuk sangat. Dah lama saya tak betul-betul luangkan masa dengan dia. Selalu balik lewat, penat, dan terus tidur."
Maisarah mengangguk perlahan, memahami situasi Hasbah. "Bah, kamu tahu, suami itu kadang-kadang bukan sekadar nak isteri yang cantik dan berjaya. Mereka nak rasa dihargai, nak perhatian, nak dilayan.
Akmal tu baru naik pangkat, kan? Mungkin dia penat bekerja. Ditambah pula kamu selalu sibuk dengan butik ni. Dia mungkin rasa dia tak dapat masa yang cukup dengan kamu."
Kata-kata Maisarah membuat Hasbah termenung. Dia mula mengingati saat-saat manis bersama suaminya dahulu, ketika dia masih baru memulakan perniagaan dan mereka selalu mempunyai masa untuk satu sama lain. Dia sedar, sudah terlalu lama dia tidak meluangkan waktu berkualiti bersama Akmal.
"Datin, saya rasa kamu betul. Saya tak ingat bila kali terakhir saya bercuti dengan Akmal. Selalu ada alasan – kerja, butik, acara. Mungkin ini masanya saya betul-betul beri perhatian pada dia," kata Hasbah perlahan.
Maisarah tersenyum. "Kalau kamu rasa macam tu, buat sesuatu. Jangan biarkan rasa jauh tu makin besar. Apa kata kamu rancang sesuatu? Bawa dia pergi bercuti ke tempat yang tenang. Buat dia rasa penting dalam hidup kamu."
Hasbah mengangguk, mula memikirkan cadangan itu. "Datin, dua minggu lagi kita ada pertunjukan fesyen di Bandung, Indonesia. Mungkin saya boleh ajak Akmal ikut sekali. Kami boleh bercuti di sana, bersantai... sekurang-kurangnya dia tahu saya masih peduli."
Maisarah tersenyum lebar. "Itulah semangatnya, Bah! Lelaki mana yang tak suka bila isteri dia rancang sesuatu yang istimewa untuk dia? Saya rasa Akmal akan gembira. Yang penting, kamu luangkan masa dan buat dia rasa dihargai."
Hasbah tersenyum kembali, rasa semangat yang lama hilang kini kembali menyala. Dalam hati, dia berjanji untuk menebus segala kekurangan dirinya sebagai isteri. Dia akan cuba sedaya upaya untuk memenangi kembali hati Akmal dan mengembalikan kehangatan dalam hubungan mereka.
Hasbah memulakan perbualan dengan suaminya ketika mereka sedang makan malam bersama.
"Abang, dua minggu lagi saya ada acara di Bandung. Apa kata kita pergi bersama-sama? Sayang rasa kita dah lama tak bercuti. Lepas acara tu, kita boleh berehat, santai, luangkan masa bersama," kata Hasbah dengan senyuman kecil, cuba memancing reaksi Akmal.
Akmal kelihatan terkejut dengan cadangan itu. Dia memandang Hasbah, cuba membaca niatnya. "Bandung, ya? Hmm... ok, Abang cuba apply cuti dulu. Tapi... pembantu rumah kita tu macam mana."
Hasbah tersenyum, rasa lega melihat Akmal tidak menolak cadangannya. "Emm kita bawa je la, dia pun memang asal sana, boleh dia bawak tempat yang menarik untuk kita explore, kita pun ada kat sana seminggu. Dia pun boleh berjumpa anak-anak dia."
Akmal mengangguk, tersenyum simpul, dalam hatinya dia sangat gembira kerana Susi akan ikut sekali. Dia tahu Hasbah sedang mencuba untuk memperbaiki hubungan mereka, tetapi fikirannya masih terselit bayangan Susi.
- bersambung -
337Please respect copyright.PENANARvHjtQ6ppK
337Please respect copyright.PENANA50wmBRAXfj
337Please respect copyright.PENANAVTWTzGuASQ
337Please respect copyright.PENANAPGNTHqp98w